Dua ungkapan berbeza bahasa, namun mempunyai satu makna yang sama,
menjadi kebiasaan diungkapkan oleh para remaja terutamanya dari golongan
wanita apabila berkaitan dengan pencarian jodoh. Hampir semua golongan
kaum hawa memegang kukuh ungkapan ini, kononnya bagi menjaga air muka
dan maruah mereka, ibarat menggenggam sesuatu barang takut mudah diragut
orang
Namun begitu, sejauh mana kebenaran ungkapan ini, terutama jika
dikaitkan dengan hukum syara’ itu sendiri. Penulis terpanggil untuk
bersama-sama berkongsi satu pandangan dan cadangan pembetulan
berdasarkan pembelajaran, pembacaan dan rujukan yang telah dilalui untuk
memeriahkan lagi suasana perkongsian ilmu dan maklumat melalui laman
sesawang yang mana telah menjadi satu medium paling popular bagi
mendekati para remaja.
Berbalik kepada ungkapan berbunyi “Takkan
Perigi Cari Timba”, jika difikirkan secara logik, sama ada perigi
mahupun timba, masing-masing bukanlah sesuatu yang mampu bergerak dengan
sendiri kecuali didatangkan oleh makhluk yang mempunyai kaki dan tangan
untuk menggerakkannya. Seseorang yang ingin mandi di perigi perlu
membawa timba yang bertali untuk menceduk air yang jauh di dasar perigi.
Justeru, tiada istilah perigi mencari timba atau timba mencari perigi,
yang sebenarnya dengan adanya keinginan untuk mendapatkan air, barulah
timba dibawa ke perigi.
Realiti ini menerangkan kepentingan kemahuan dan keinginan untuk menjayakan sesuatu keadaan, bak kata pepatah “Dimana ada kemahuan, disitu ada jalan!”, bukan sekadar mencipta 1001 alasan, dan mengharapkan penyelesaian jatuh ke ribaan.
Seterusnya, dibuktikan kesilapan terlalu berpegang kepada ungkapan
tersebut melalui satu dalil iaitu daripada Hadis Nabi SAW yang disebut
dalam Sahih Bukhari (No. Hadis 4726) yang mana tidak boleh diragui lagi
kesahihan jalan periwayatan hadis ini.
بَاب عَرْضِ الْمَرْأَةِ نَفْسَهَا عَلَى الرَّجُلِ الصَّالِحِ
“BAB SEORANG WANITA MENAWARKAN DIRINYA (UNTUK BERKAHWIN) KEPADA LELAKI SOLEH”.
Malah Sirah Nabawiyyah juga telah membuktikan bahawa Khadijah (Isteri yang Paling dikasihi oleh Nabi SAW) melamar Nabi SAW sebelum Baginda diangkat menjadi nabi lagi melalui seorang perantara. Adakah ini dikatakan Perigi Cari Timba?
Jika ada yang memberi alasan: “Ish..itu Nabi SAW, siapalah kita nak disamakan dengan baginda SAW?!” . Jawapannya mudah, Nabi SAW diutuskan untuk kita sebagai umatnya menjadikan Role Model (PeribadContoh), sebagaimana FirmanNYA:
لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيراً
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri (contoh) teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah”.
(Surah Al-Ahzab, 21)
Firman Allah dalam Surah An-Nur, ayat 26:
“Wanita-wanita yang keji adalah untuk laki-laki yang keji, dan laki-laki yang keji adalah buat wanita-wanita yang keji (pula), dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula). Mereka (yang dituduh) itu bersih dari apa yang dituduhkan oleh mereka (yang menuduh itu). Bagi mereka ampunan dan rezki yang mulia (surga)”.
Dalam ayat ini,Allah meletakkan dua cara, iaitu sama ada َالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik atau وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik
Hikmahnya untuk kita sama-sama berfikir, tidak semestinya lelaki yang memilih perempuan, bahkan perempuan juga dibenarkan memilih lelaki sebagai pasangan hidupnya, yang mana diikhlaskan dan disucikan melalui istikharah, memohon petunjuk keputusan terbaik dariNYA, bukan semata-mata dari pandangan kita yang pasti banyak khilafnya dek kerana maksiat dan dosa kita.
Wallahu’alam.
Dalam memilih jodoh, memang benar ia adalah satu ketentuan, namun tawakkal sahaja tanpa usaha, ibarat menanam padi tanpa proses penuaian, menunggu hasil datang dengan keajaiban, itu bukanlah sunnah orang beriman!~
Usaha perlu ditingkatkan, istikharah perlu diteruskan, tawakkal perlu digandingkan, agar lengkap satu kewajipan, diri kita sebagai orang yang beriman!~