BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS »

Monday, October 4, 2010

Merindui Cinta-Nya





Ibu, ayah...

Anakmu ini sedang jatuh cinta, perlahan2 perasaannya bertambah ralit pada cintanya. Dunianya sendiri. Angan idamnya sendiri. Pertama kali merasa nikmat cinta. Hakikat cinta. Aku kagumi Dia. Dia yang sentiasa ada untukku tiap ketika. Langsung tidak pernah lupa pada aku. Walhal aku tidak layak pun untuk memiliki Dia. Kadang aku terfikir, bagaimana harusku berhadapan dengan Dia. Gagahkah aku? Atau goyahkah aku? Dia yang sentiasa ada dan aku yang sentiasa lupa. Dia yang sentiasa mengingatkan dan aku yang sentiasa alpa. Dia yang sentiasa membantu dan aku yang sentiasa membatu.


Ibu, ayah...

Anakmu ini makin larut dalam keasyikannya. Hingga terasa bermakna dalam tiap2 hari yang dilaluinya. Bertambah bahagia dengan Dia. Hingga aku mampu memberikan jaminan, aku tidak boleh hidup tanpa Dia. Sungguh Dia benar2 berkuasa membuat jiwa anakmu terpesona.


Ibu, ayah...

Aku hanya ingin menyatakan, kalian tetap ada. Meski jiwa ini di curi si Dia. Walau hati ini kepunyaan si Dia. Kalian masihku sanjung, tiap saat dan ketika, dalam setiap ratib dan doa akhirku. Tapi Dia cinta agungku.


Ibu, ayah...

Anakmu merasakan cukup dengan Dia. Maka izinkanlah kami bersama. Andai sekiranya Dia datang menjemputku, redhailah. Jangan ragu. Anakmu sangat yakin. Dia bijak mengatur segalanya. Pasti anakmu akan mendapat hak yang terbaik dalam caturan takdirnya. Usah dikhuatiri. Ini jaminan Dia padaku juga kamu.


Ibu, ayah...

Aku dapat rasakan aku tidak akan tersalah pilihan. Dialah yang di cari. Dialah yang utama. Dialah yang aku perlu hormati dalam hidup ini. Justeru, anakmu benar2 menaruh harapan, agar melepaskan anakmu pergi bersamanya. Jangan ditangisi, jangan dirindui jua diratapi. Anakmu turut merasakan penderitaan jiwa itu. Cukuplah kiriman dan bingkisan doa dari kalian. Moga-moga dengan itu, kehidupan anakmu di sana bersama Dia akan terpelihara.


Moga dia dapat menerima anakmu ini seadanya.
Dia Ya Rabb... Dia Ya Ilahi...
Allahuakbar...

Di Manakah Sifat Kemanusiaan?

Saban hari kita sering disajikan dengan kes-kes pembuangan bayi. Kes ini bukan semakin berkurangan malah semakin bertambah selaras dengan kemajuan pembangunan negara kita. Gambar-gambar yang dipaparkan melalui televisyen atau surat khabar menambahkan rasa sedih di hati, tersentuh bila memandang bayi yang masih kemerah-merahan dan masih bertali pusat dibuang tanpa seurat benang ditubuh. Kalau kita saja seorang dewasa yang tidak tertahan dengan suhu sejuk di sesuatu tempat, inikan pula seorang bayi yang baru lahir? Di manakah sifat perikemanusiaan seorang manusia itu?


Semasa melakukan maksiat, tidak terfikir langsung akan akibat yang akan dihadapi, bila perut sudah "memboyot" segala perasaan bermain di minda. Apatah lagi bila telah melahirkan anak yang dikandung, ekoran takut dan malu bercampur baur, maka timbullah tindakan meletakkan bayi yang dilahirkan di mana-mana tempat tanpa memikirkan satu lagi dosa yang dilakukan. Yang menjadi mangsa adalah bayi. Mereka "terjadi" akibat perbuatan sendiri, tanpa dikasihani, mereka dibuang dan dibiarkan begitu sahaja. Apakah dosa bayi tersebut? Lantaran takut dan malu, dosa diketepikan. Kenapa tidak memikirkan perasaan takut dan malu itu semasa melakukan maksiat? Segala pujuk rayu dari kaum lelaki kenapa tidak ditolak? Kononnya sebagai tanda kasih, sayang, cinta...Tetapi kenapa perasaan tersebut tidak wujud terhadap bayi yang dilahirkan?


Andainya bayi yang baru dilahirkan pandai berkata-kata, sudah pasti mereka akan meraung, merintih dan menjerit "Ibu...jangan tinggalkan aku di sini, aku adalah hasil dari perhubungan haram antara ibu dan lelaki itu, kenapa aku dibuang dan dibiarkan setelah aku terhasil dari sumpah tanda kasih dan sayang kalian?"


Fikirkanlah wahai muda-mudi, jangan terpesona dengan segala janji dan pujuk rayu daripada seseorang yang bergelar "kekasih", tegaskanlah diri kita dengan berkata "TIDAK" dan dekatkanlah diri kita lebih kepadaNYA agar kita tidak mudah terjerumus dengan segala maksiat atau perkara yang salah di sisi agama.